Apa itu Mengandung Luar Rahim
Kandungan Luar Rahim atau "Ectopic Pregnancy".  Ia membawa maksud, embrio yang telah dipersenyawakan membesar bukan  pada tempatnya iaitu di luar daripada rahim. 98% daripada kandungan luar  rahim ini ialah pada kawasan tiub fallopia dan ia dipanggil "Tubal  Pregnancy". Yang lain-lain ialah di serviks, di dalam kawasan abdomen  (omentum atau peritoneum) dan ovari.
Kenapa Mengandung di Luar Rahim?
Di dalam tiub fallopia mengandungi rerambut halus yang dipanggil CILIA.  Ia bergerak seperti penyapu dan akan menolak perlahan-lahan embrio dari  kawasan persenyawaan ke arah rahim. Apabila CILIA ini telah rosak maka  pemindahan embrio ke dalam rahim secara normal akan terganggu. 
Risiko dan Penyebab
1. Jangkitan di sekitar pelvis oleh kuman-kuman seperti gonorrheoa atau  Chlamydia. Kuman ini akan menyebabkan kerosakan pada dinding tiub  fallopia yang menyebabkan parut. Ini juga menyebabkan dinding fallopia  menghadapi kerosakan dan kehilangan CILIA.
2. Pembedahan  sebelum ini pada kawasan tiub fallopia seperti pembedahan rekonstruktif  tiub atau "ikat tiub" boleh merosakkan struktur tiub fallopia.
3. Pernah mengalami mengandung luar rahim sebelum ini. Terdapat kajian  yang menyatakan risiko mengandung luar rahim semula adalah 15% sekiranya  berulang kali pertama dan 30% untuk kali kedua.
4. Pemakaian  Alat Dalam Rahim atau IUD mempunyai risiko untuk mengandung luar rahim.  Walaupun begitu jumlah kes keseluruhannya adalah sangat rendah, kerana  fungsi alat ini yang menghalang kehamilan.
5. Kecacatan tiub fallopia sejak lahir.
6. Kajian juga menunjukkan, MEROKOK ketika persenyawaan berlaku mempunyai kaitan utama untuk mengandung di luar rahim.
7. Ketumbuhan dan penyakit seperti tumor atau endometriosis boleh  mengganggu pergerakan embrio dan menyebabkan masalah ini berlaku.
Gejala Mengandung Luar Rahim
Apabila seorang wanita di dalam jangka umur subur datang dengan sakit  perut yang teruk, di sebelah kiri atau kanan bahagian bawah, maka  mengandung luar rahim perlu diketepikan. Ini adalah kerana mengandung  luar rahim boleh menyebabkan pendarahan di dalam perut dan boleh  menyebabkan kematian.
Selain daripada sakit perut, pendarahan  pada vagina yang seolah-olah datang period boleh mengkaburi pesakit  kononnya mana mungkin mengandung kalau datang period. Sedangkan ia bukan  lah period tetapi pendarahan akibat mengandung luar rahim.
Beliau juga mungkin boleh mengalami tanda2 awal mengandung seperti  terasa ngilu pada buah dada dan puting, pening dan loya atau  muntah-muntah beberapa hari sebelum itu.
Sekiranya pendarahan  terlalu banyak di dalam perut, pesakit akan mengalami pening-pening,  rasa lemah badan, perut menjadi keras, sakit pinggang dan belakang dan  boleh pengsan.
Bagaimana Diagnosis Dibuat?
1.  Selain daripada sejarah pesakit, Pemeriksaan dengan memasukkan dua jari  ke dalam vagina menunjukkan kesakitan pada serviks, dan bengkakan pada  sekitar dinding vagina berhampiran serviks.
2. Kehadiran hormon HCG pada air kencing ataupun darah boleh diperiksa.
3. Ultrasound abdomen menunjukkan tiada kantung kandungan di dalam rahim.
4. Transvaginal Ultrasound adalah kaedah paling berguna - boleh  menunjukkan pembengkakan di dalam tiub fallopia, kandungan rahim yang  kosong dan pendarahan.
Perawatan Mengandung Luar Rahim
Buat masa ini dua cara utama perawatan di Malaysia ialah melalui  pembedahan samada Laparoskopi atau Laparotomi. Laparoskopi lebih banyak  digunakan sekarang kerana ia tidak memerlukan pembedahan besar. Ia cuma  menebuk tiga lubang kecil di perut di mana 3 alat dimasukkan melalui  lubang. Pakar boleh melihat masalah yang berlaku melalui alat ini dan  pembedahan kecil boleh dilakukan tanpa membuka perut pesakit.
Walaupun begitu, had nampak laparoskopi adalah terbatas. Sekiranya  pendarahan terlalu banyak sehingga menghalang penglihatan atau  pendarahan tidak boleh dikawal, maka option untuk menukar ke pembedahan  terbuka dilakukan. Pada kebiasaanya, tiub yang rosak akan diikat dan  dibuang. Proses ini dipanggil salphingectomy.
Sumber : Dr. Azwan



No comments:
Post a Comment